Suami tinggal RM100 untuk belanja anak
Gemas: Isteri pemandu treler yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.9, Lebuhraya Utara-Selatan, pagi semalam, tidak menyangka panggilan telefon yang dibuatnya kira-kira jam 3.30 pagi sebelum nahas adalah perbualan terakhirnya bersama arwah suami, A Majid Sadar Mohd, 59.
Bibi Jeliah Ibrahim, 53, berkata, kebiasaannya dia akan sedar jika suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori mahu keluar bekerja seawal jam 2 pagi, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia terlena, pagi semalam.
“Saya cuma tersedar kira-kira jam 3.30 pagi sebelum menelefon suami untuk bertanyakan mengenai duit RM100 yang pada mulanya saya sangka arwah tertinggal.
“Dalam perbualan itu, arwah beritahu duit itu untuk belanja anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Permai, di sini.
Menurutnya, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan ketika bercuti pada Ahad dan kelmarin, arwah hanya duduk di rumah.
“Terdetik dalam hati saya mungkin arwah ingin luangkan masa bersama keluarga sebab sudah selalu keluar bekerja hinggakan rakan yang datang ke rumah mengajak arwah keluar minum pun, dia tidak mahu pergi,” katanya yang menerima berita kemalangan itu kira-kira jam 10 pagi semalam.
Sumber: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment